Mustapha Ali :PAS tidak Lagi Bersama Anwar Ibrahim !


Bukan sahaja orang luar tetapi ramai pemimpin dan pengikut-pengikut PAS sendiri sedar bertapa mereka tertipu dengan Pelan 16 September dendangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, kerana sudah terlanjur berpakat untuk tumbangkan kerajaan Barisan Nasional, PAS terus ikut telunjuk dan akur dalam pembangkang bersama PKR dan DAP. Malah, dalam sesetengah kes yang turut menimbulkan keraguan pemimpin serta ahli, PAS kerap juga mempertahankan Ketua Pembangkang itu termasuk dalam kes dakwaan liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan dan video seks lelaki menyerupai Anwar.

Bahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyelamatkan Anwar dalam satu sidang media apabila bekas timbalan perdana menteri itu ditanya sama ada berani bersumpah bahawa lelaki dalam video yang melanggan pelacur China itu bukan dirinya. Hadi memberi alasan perkara itu bukan kes mahkamah Syariah malah menyifatkan pendedahan video itu bertujuan menyekat politik Anwar.

Namun, jika Ketua Umum PKR itu ingatkan sokongan PAS selama-lamanya terhadap beliau, Anwar kena ingat apa Setiausaha Agung PAS cakap dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di ibu negara, pagi Jumaat. Menjawab soalan Agendadaily, Mustapha Ali berkata, PAS hanya akan putuskan soal hubungan parti itu dalam pembangkang selepas keputusan kes babitkan Anwar terutama isu video seks selesai siasatan.

Beliau ditanya jika siasatan itu mendedahkan pelaku dalam video itu adalah Anwar, apakah PAS akan mengkaji kedudukan parti itu dalam pembangkang. “Saya tak mahu jawab soalan andaian. Sehingga real macam tu, baru kita boleh buat keputusan macam itu,”

“(Jika) Penyiasatan selesai dan putuskan macam ini kedudukan, kita tengoklah macam mana. Siasatan belum ada lagi keputusannya,” katanya.

Diminta pandangannya mengenai saranan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainol supaya Anwar bersumpah muhabalah bagi membersihkan imejnya dalam isu video tersebut, Mustapha menjelaskan PAS sudah membuat keputusan sebaik sahaja kes itu dilaporkan.

“Kita ada beberapa kaedah. Biar polis siasat dulu, sebab proses kerajaan sekarang ikut undang-undang serta perlembagaan bukan ikut kaedah Islam,” katanya.


PAS katanya akan ikut undang-undang sedia ada malah menegaskan orang yang siar rakaman itu juga melakukan kesalahan.

“Orang yang laku (seks) segi moral saja, undang-undang negara tak ada salah dan tidak boleh ambil tindakan,” ujarnya.

Bagaimanapun, PAS akan menyatakan pendirian parti itu jika kerajaan memutuskan kes itu di Mahkamah Syariah dan ikut undang-undang Islam.

Kenyataan Mustapha ini tidak boleh Anwar pandang sebelah mata kerana tanpa sokongan PAS, ramai pemerhati politik perjuangan beliau dan PKR untuk menawan Putrajaya dan jadi Perdana Menteri tidak kesampaian. PKR dan DAP sahaja tidak cukup kuat untuk ,menjatuhkan Barisan Nasional jika PAS buat keputusan keluar pakatan pembangkang.

Lagipun, ada pemimpin PAS tidak senang hati kerana jentera parti itu diperalat dalam pilihan raya kecil jika PKR dan DAP bertanding. Bahkan ramai merungut kerana layanan tidak adil diterima parti itu terutama hanya diberikan lima kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Ada pemimpin PAS kecewa hingga sekarang kerana Anwar awal-awal lagi sebagai panglima perang tetapi cabut meninggalkan gelanggang sehari sebelum tarikh pengundian pada 16 April lalu. Senang cakap, PAS sudah macam cacing kepanasan dalam pembangkang tetapi kerana memegang janji-janji untuk bersatu menentang kerajaan, PAS kini dilihat hampir hilang arah perjuang dan tindakan keluar dari pakatan adalah jalan terbaik buat parti itu.

Dipetik Daripada Artikel oleh Roslan Bian

No comments:

Post a Comment